DORTMUND 2 LEIPZIG 1

Edin Terzic memuji kekentalan pertahanan Borussia Dortmund untuk menyamai rekod kemenangan kelapan berturut-turut kelab dalam Bundesliga dengan menundukkan pencabar kejuaraan, RB Leipzig, 2-1, awal pagi tadi.


Ia juga merupakan rentetan kemenangan ke-10 dalam semua pertandingan untuk memintas Bayern Munich menerusi perbezaan gol selepas memperagakan prestasi cemerlang selepas kempen Piala Dunia di Qatar.

Sementara itu, Leipzig, yang dibimbing bekas pengurus Dortmund, Marco Rose, menguasai tangga keempat dan turut mahu mengurangkan defisit mata dengan dua kelab teratas.

Selepas gol Julian Brandt untuk tuan rumah dibatalkan akibat ofsaid, kemudian Marco Reus sendiri menyempurnakan sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh penjaga gol Leipzig, Janis Blaswich, untuk meletakkan Dortmund di hadapan.

Ketua pasukan itu kini muncul penjaring kedua terbanyak buat gergasi Bundesliga berkenaan.

Selepas itu, rembatan Emre Can dari ruang sukar melebarkan kedudukan kepada 2-0 pada waktu rehat.

Leipzig cuba bangkit dan berhasil mengurangkan jurang gol apabila Emil Forsberg memasukkan hantaran lintang David Raum.

Anak buah Rose itu terus melancarkan asakan hingga memaksa Nico Schlotterbeck perlu bertindak tangkas ketika mematahkan percubaan deras Timo Werner di penghujung perlawanan tatkala Dortmund cuba mengekalkan tiga mata, seterusnya memberi tekanan kepada Bayern yang bakal berdepan Stuttgart, malam ini.

Justeru, Terzic gembira dengan keampuhan bentengnya dengan memberitahu DAZN: "Ini adalah satu perlawanan yang sangat hebat, kami sangat gembira.



"Kami bermain dengan sangat baik dalam separuh masa pertama, manakala dalam babak kedua kami bertahan dengan penuh semangat. Kami menyelamatkan bola di atas garisan, bukan mudah untuk menjaringkan gol apabila menentang kami seperti hari ini."