Pertahanan Juventus, Medhi Benatia, melengkapkan perpindahan €8 juta (RM37.6 juta) untuk menyertai kelab Qatar, Al-Duhail, selepas dua setengah musim bersama pasukan gergasi Serie A itu.

Benatia, 31, meninggalkan Eropah buat kali pertama dalam kariernya dengan perpindahan itu disahkan sendiri Juventus, semalam.

Yuran perpindahan tersebut dijangka akan diselesaikan menerusi dua kali pembayaran pada Oktober 2019 dan mungkin meningkat sebanyak €2 juta (RM9.4 juta) lagi berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan kelab tersebut.

Benatia pada asalnya dipinjamkan Bayern Munich kepada Juve pada 2016 sebelum kelab itu melengkapkan perpindahan penuh pada tahun berikutnya.

Bintang Maghribi itu memenangi dua kejuaraan Serie A dan Coppa Italia sewaktu berkhidmat dengan kelab Itali itu.

Al-Duhail, yang merupakan juara enam kali liga divisyen utama Qatar, kini menghuni kedudukan kedua selepas 15 perlawanan musim ini.

Mereka kini sedang memperkuatkan pasukan untuk mempertahankan kejuaraan yang diraih musim lalu.