Pertahanan Barcelona, ​​Jordi Alba, ingin bersara di Camp Nou biarpun dikaitkan dengan Manchester United dan Juventus.

Kontrak Alba akan berakhir pada 2020 dan pemain antarabangsa Sepanyol itu telah meluahkan kekecewaannya berhubung rundingan kontrak baru yang masih buntu.

Situasi pemain berusia 29 tahun itu dilaporkan mencetuskan minat gergasi Liga Perdana, United, dan juara Serie A, Juve.

Begitupun, Alba tidak berniat untuk meninggalkan pendahulu LaLiga, Barca, sejak tiba dari Valencia pada 2012.

"Anda tidak tahu apa yang akan terjadi dalam bola sepak tetapi saya mengulangi hajat saya untuk kekal di sini tidak kira apapun yang berlaku," kata Alba kepada SPORT ketika ditanya tentang minat daripada United dan Juve.

"Saya tidak pernah melihat diri saya di luar Barcelona ​​kerana impian saya adalah untuk kekal di Barca. Sejak bertahun-tahun berlalu, prestasi saya terus berkembang dan saya menyedarinya melalui reaksi peminat.

"Saya selalu melihat diri saya di Barcelona dan impian saya adalah untuk bersara di sini."

Alba menambah: "Ia memerlukan pengorbanan besar untuk ke sini berbanding berpindah. Keluarga saya ada di sini, saya menerima sokongan daripada mereka, peminat dan rakan sepasukan. Saya tidak fikir bahawa saya akan berasa bahagia di tempat lain."

"Sejak berada di sini, saya berasa sangat dihargai," katanya. "Kelab sentiasa berusaha untuk mengekalkan pemain selain mendapatkan pemain yang diidamkan. Saya tidak mempunyai sebarang rungutan buat masa ini."