Sabah mengakhiri perlawanan pra-musim mereka dengan keputusan seri apabila terikat 1-1 dengan kelab dari Filipina, Kaya FC, di Pusat Latihan Negara Persekutuan Bola Sepak Filipina (PFF), Carmona, Cavite hari ini.

Sabah mendahului 1-0 dalam separuh masa pertama hasil jaringan pemain sayap, Maxsius Musa.

Dalam perlawanan itu juga, tiga calon import diuji, iaitu pemain pertahanan dari Korea Selatan, Park Tae Su, penyeraang tengah dari Brazil, Vinicius Calamari, dan penyerang dari Moldova, Petru Leuca.

Petru dan Park sudah menyertai pasukan ketika menang 4-2 ke atas Stallion FC dalam perlawanan persahabatan pertama di Stadium Binan, Laguna, Selasa lalu.

Vinicius adalah calon import terbaru manakala Petru yang mengalami kecederaan dalam perlawanan pertama mengubah keputusan awalnya tidak mahu terus diuji dengan menyertai pasukan dalam perlawanan kedua.

"Bagaimanapun hanya Park yang menyerlah dan akan kita bawa untuk terus diuji," kata pengurus pasukan, Henry Saimpon, ketika dihubungi selepas perlawanan.

Mengenai prestasi pasukan berdasarkan dua perlawanan persahabatan di Filipina itu, Henry berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati.

"Mujurlah kita dapat dua perlawanan persahabatan berkualiti yang pasukan perlukan dalam persiapan terakhir sebelum menghadapi Liga Perdana tidak lama lagi. Dua perlawanan ini telah menyerlahkan kemampuan sebenar pasukan.

"Ada beberapa aspek yang perlu diperkemaskan dan ia adalah kerja rumah yang penting untuk diselesaikan barisan jurulatih kita yang diketuai Jelius (Ating) apabila balik nanti," kata Henry lagi.