Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mungkin tidak perlu memandang jauh bagi mencari pengganti Peter Genever ketika Ajaz Azmat bersedia mengisi kekosongan sebagai ketua jurulatih.

Ajaz nama yang tidak asing dalam struktur kejurulatihan SRAM, dengan penglibatan kali pertamanya bersama badan induk itu adalah sejak tahun 2004 sehingga 2010.

Susulan itu, dia berkelana ke Amerika Syarikat sebelum kembali ke pangkuan SRAM pada 2017.

Malah, prospek menangani tekanan sebagai ketua jurulatih menjadi sesuatu yang dinantikan Ajaz.

"Mengapa tidak, saya telah lama melatih atlet negara dan saya selesa untuk mengambil alih tugas Genever," kata Ajaz.

Genever dijangka pulang ke England pada hujung bulan depan selepas menyerahkan surat peletakan jawatan, 7 Januari lalu.

Meskipun pemain negara terkesan dengan keputusan itu, mereka berpandangan Ajaz memiliki kualiti untuk meneruskan tugas Genever.

"Saya dapat berlatih dalam beberapa sesi bersama Ajaz. Beliau mengutamakan permainan serangan dan ia amat baik buat kami," kata pemain negara, Syafiq Kamal.

"Semua jurulatih di sini adalah berkualiti. Tidak mengira siapa yang melatih, saya akan berusaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan," kata pemain negara, Ng Eain Yow.