Mungkin agak canggung untuk menerima Australia adalah sebahagian daripada warga bolasepak Asia, kerana pelbagai faktor.

Dari sudut geografi, mereka berasal dari benua Oceania, seangkatan dengan Negara seperti Papua New Guinea, New Zealand, serta Fiji dan beberapa Negara kepulauan kecil.

Manakala dari sudut adat dan budaya, mereka tidak sama seperti masyarakat Asia, dan lebih menyerupai bangsa Eropah baik dari aspek linguistic ataupun kehidupan seharian.

Namun dari sudut perlembagaan bolasepak, ia bukan sesuatu yang asing, Australia sudah pun diterima masuk menjadi salah satu anggota Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 2006, dan sudah pun beraksi sebanyak empat edisi Piala Asia bermula 2007. Pada tahun 2013, mereka menjadi sebahagian daripada warga Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF), dan pernah beraksi dalam saingan Piala AFF Futsal sebanyak empat edisi.

Menurut perjanjian asal, ketika skuad Socceroos mula menjadi sebahagian dari warga AFF pada 2013, mereka tidak dibenarikan beraksi dalam saingan Piala Suzuki (dahulu dikenali sebagai Piala Tiger) kerana faktor tahap permainan yang berbeza dengan negara-negara di rantau ini, dalam erti kata lain, Australia dilihat terlalu kuat kerana punyai beberapa pemain ternama yang beraksi dalam Liga Eropah seperti Mark Bresciano, Tim Cahill, Mile Jedinak dan beberapa lagi.

Namun atas perkembangan bolasepak di rantau, yang menyaksikan kejayaan negara seperti Thailand an Vietnam yang mencipta impak di pentas Piala Asia tempohari, Australia menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Bolasepak Australia (FFA), David Gallop merasakan standard dipamerkan dalam saingan Piala AFF Suzuki sudah tidak seperti dahulu dan semakin sengit, dan mereka sedia untuk ambil bahagian.

Untuk satu aspek ia akan menghadirkan saingan lebih sengit dengan kehadiran Australia, namun dalam masa yang sama ia mampu menggugat beberapa pasukan sedia ada, seperti Laos, Kemboja, Timor Leste dan juga Malaysia dalam cuba untuk merampas piala tersebut di edisi 2020.

Setakat ini ia masih di fasa perbincangan, kerana Australia sedar kalendar kejohanan Piala AFF Suzuki akan bertembung dengan sainga Liga Australia.