Zahasmi anggap silap sendiri bawa padah
Farizal Yusoff
March 11, 2020 17:32 MYT
March 11, 2020 17:32 MYT
Ketua jurulatih Kelantan United (KUFC), Zahasmi Ismail, menganggap kesilapan sendiri sebagai pubca kekalahan 2-0 kepada The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam tadi.
"Tahniah kepada Kelantan kerana berjaya dapat kemenangan pertama liga. Perjuangan kami belum berakhir dan saya anggap kesilapan sendiri bawa padah.
"Selain itu, faktor kepenatan kerana kita bermain tiga perlawananan berturut-turut sedangkan Kelantan kurang satu perlawanan. Apapun, kita terima keputusan dengan hati yang terbuka," katanya.
Zahasmi yang berjaya membawa KUFC merangkul kejuaraan Liga-M3, musim lepas, bimbang dengan ketumpulan barisan serangannya yang mengakibatkan Skuad Kijang Hijau berputih mata.
"Sekarang ini, sama juga masalah yang dihadapi ketika bertemu Kuching FA baru- baru ini. Walaupun babak kedua kita kuasai perlawanan tetapi penyudah tetap jadi halangan utama.
"Jadi, Kelantan guna serangan balas pantas dan dapat jaringkan gol. Mungkin, rezeki kepada mereka," ulasnya.
Untuk rekod, kekalahan 2-0 ini meletakan KUFC di tangga ketiga liga dengan enam mata hasil kemenangan ke atas Perak II dan Kuching FA, tiga mata di belakang pendahulu, Terengganu FC II.