Yusri ingatkan pemain supaya kawal diri

Farizal Yusoff
March 10, 2020 16:04 MYT
Ada nasihat penting yang diberikan pengendali Kelantan, Yusri Che Lah kepada pemainnya menjelang aksi menarik menentang pendatang baharu, Kelantan United FC (KUFC) dalam aksi ketiga saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
"Dalam aksi yang dijangka menarik ribuan peminat, saya harap pemain The Red Warriors (TRW) dapat mengawal diri, tenang dan mampu serap tekanan.
"Mereka (pemain) tidak seharusnya terikut-ikut dengan sorakan dan provokasi penyokong yang tentunya beri lebih tekanan dalam aksi abang menentang adik," katanya.
Jurulatih kelahiran Perlis ini juga tidak mahu pemain TRW mempunyai perasaan dengki terhadap kelebihan yang dimiliki oleh skuad kendalian Zahasmi Ismail selepas mengharungi dua perlawanan sebelum ini.
"Mereka (KUFC) masih belum tewas selepas mengharungi dua perlawanan dengan enam mata maksimum sedangkan Kelantan sekadar satu mata (seri 1-1 dengan Kuala Lumpur) dan perlawanan kedua ditangguhkan akibat cuaca buruk.
"Jika sikap dengki menguasai pemain, sudah pasti tidak dapat menunjukkan prestasi terbaik. Sebaliknya, mereka harus bermain mengikut suasana permainan sebelum ini dan ketika menentang pasukan lain," ujarnya.
Yusri juga mengingatkan benteng pertahanan supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman bekas pemain yang pernah berada di bawah kendaliannya pada musim 2018.
"Pemain seperti Mohd Shahrizan Ismail, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi dan Mohamad Rozaimi Azwar mempunyai kualiti yang cukup baik serta matang dalam permainan yang sudah tentu menjadi ancaman kepada TRW," tambahnya.
Kredit Foto: Kelantan FA
#bola sepak malaysia #Liga Perdana
;