UCL: Satu-satu dulu, kata Slot selepas Liverpool atasi Leverkusen

Muzaffar Musa
November 6, 2024 13:44 MYT
Arne slot menegaskan bahawa dia akan terus menggunakan pendekatan "satu perlawanan dalam satu masa" selepas memacu Liverpool meraih kemenangan 4-0 ke atas Bayer Leverkusen dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Anfield awal pagi tadi.
Hatrik Luis Diaz selain satu gol Cody Gakpo memberikan kepulangan perit buat Xabi Alonso di Anfeild, sekali gus melonjakkan The Reds di tangga teratas liga 36 pasukan itu.
Liverpool kini memenangi kesemua empat perlawanan UCL di bawah bimbingan Slot dan ia merupakan hanya kali kedua mereka memenangi kesemua empat perlawanan pembukaan peringkat Eropah dalam satu musim.
Mereka kini di tangga teratas UCL dan Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi Slot kini hanya fokus kepada perlawanan menentang Aston Villa hujung minggu ini.
"Saya tidak tahu adakah ia memerlukan intensiti terlalu banyak seperti itu tetapi kami mengambil lebih risiko," katanya.
"Mereka banyak memenuhi bahagian tengah dan kami mengubah pendekatan ketika separuh masa dan mengambil risiko dengan sentiasa bermain satu lawan satu.
"Kami memiliki peluang yang lebih baik dalam babak pertama tetapi ia tidak mendatangkan ancaman.
"Setakat hari ini, mereka amat bagus di Eropah, adakala seorang 'target man' yang kuat lebih bagus daripada seorang yang lebih pantas.
"Curtis Jones melakukan hantaran yang luar biasa dan kemudian anda ada seseorang yang memiliki rentak seperti Lucho untuk menyudahkannya.
"Pada pandangan saya, hantaran itu sama bagus dengan jaringannya.
"Sebagai pengurus, anda tidak melihat apa yang akan berlaku tiga bulan ke depan, anda sentiasa melihat satu perlawanan pada satu-satu masa.
"Kami akan menentang Aston Villa pada Sabtu ini, satu lagi perlawanan sukar," katanya.
#bola sepak #Liverpool #Bayer Leverkusen #Liga Juara-Juara Eropah #Arne Slot
;