UCL: RB Leipzig mahu tebus maruah di laman Manchester City

Muzaffar Musa
November 28, 2023 11:34 MYT
RB Leipzig berharap dapat menebus maruah mereka selepas dibelasah Manchester City musim lalu, kata ketua jurulatihnya, Marco Rose.
Pasukan Jerman itu dibelasah 0-7 dalam kunjungan mereka ke laman juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu dalam pusingan 16 pada Mac lalu.
Kedua-dua pasukan itu akan sekali lagi bertemu di venue sama awal pagi esok dengan kedua-duanya sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Rose berkata dalam sidang media: "Kami dibelasah 0-7 tahun lalu, ia menyedihkan kami, ia memusnahkan kami. Kami langsung tidak bercakap mengenainya tetapi memberikan perasaan yang tidak baik selepas perlawanan itu.
"Tetapi kami kemudian menjadi juara Piala Jerman selepas perlawanan itu dan kami layak ke UCL, jadi ia tidak memusnahkan pasukan kami sepenuhnya.
"Sudah pasti kami mahu melakukan yang lebih baik esok. Kami mahu bersaing dengan antara pasukan terbaik dunia. Kami mahu menunjukkan yang kami kini lebih baik.
"Ia sukar. Kami akan menderita esok. Kami tidak pernah lihat pasukan di sini memiliki penguasaan bola seperti mereka. Liverpool juga saya fikir hanya dapat 40 peratus penguasaan bola (ketika menentang mereka).
"Jadi, kami sedar apa yang akan kami akan hadapi tetapi kami berada di sini untuk mencuba sekali lagi," katanya.
#bola sepak #RB Leipzig #Liga Perdana Inggeris
;