UCL: Hatrik Raphinha pacu Barcelona belasah Bayern Munich tanpa belas
Muzaffar Musa
October 24, 2024 14:10 MYT
October 24, 2024 14:10 MYT
BARCELONA 4 BAYERN MUNICH 1
Kapten Barcelona, Raphinha, menjaringkan hatrik ketika Barcelona membelasah Bayern Munich 4-1 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Estadi Olimpic Lluis Companys awal pagi tadi.
Kemenangan itu turut menyaksikan Barca menamatkan badi hampir sedekad tidak dapat menewaskan pasukan gergasi Jerman itu di gelanggang mereka.
Malam gemilang Raphinha bermula apabila dia membuka jaringan Barcelona tidak sampai seminit selepas sepak mula, di mana dia menerima lorongan Fermin Lopez dan melepasi perangkap ofsaid sebelum menewaskan Manuel Neuer.
Harry Kane kemudian menyamakan kedudukan buat Bayern menerusi rembatan volinya pada minit ke-18, hanya untuk Robert Lewandowski kembali memberikan kelebihan buat tuan rumah pada minit ke-36 dengan memanfaat kesilapan pertahanan bekas pasukannya itu.
Raphinha kemudian melebarkan kelebihan Barca dengan dua gol dalam separuh masa berbeza, yang kedua-duanya daripada gerakan serangan balas.
Kemenangan itu menyaksikan Barca melonjak ke tangga keenam UCL dengan enam mata daripada tiga perlawanan manakala Bayern pula di kedudukan ke-23 dengan tiga mata selepas melalui dua kekalahan berturut-turut.