UCL: Arsenal ulang rekod 21 tahun lalu, tamatkan rentetan tanpa kalah Sporting
Muzaffar Musa
November 27, 2024 11:30 MYT
November 27, 2024 11:30 MYT
SPORTING 1 ARSENAL 5
Arsenal mempamerkan aksi terbaik mereka apabila membelasah kelab Portugal, Sporting, 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Lisbon awal pagi tadi.
Gabriel Martinelli meletakkan pasukan bimbingan Mikel Arteta itu di depan seawal minit ketujuh dan sejak itu, kelab London itu tidak lagi menoleh ke belakang.
Kai Havertz dan Gabriel Magalhaes kemudian menambahkan kelebihan pelawat untuk kekal mendominasi sehingga tamat separuh masa pertama.
Keadaan sedikit sengit apabila Goncalo Inacio merapatkan jurang buat tuan rumah selepas dua minit perlawanan bersambung tetapi ia tidak kekal lama sebaik Bukayo Saka menyudahkan sepakan penalti Arsenal pada minit ke-65.
Leandro Trossard kemudian menjaringkan gol kelima Arsenal sebaik dimasukkan sebagai pemain gantian dan kemenangan itu menyaksikan Arsenal memintas Sporting untuk berada di tangga ketujuh liga 36 pasukan itu.
Kemenangan 5-1 itu merupakan kemenangan terbesar The Gunners dalam satu perlawanan UCL di laman lawan sejak 21 tahun lalu.
Kali terakhir mereka memperoleh kemenangan dengan keputusan sama ialah ketika membelasah Inter Milan pada 2003.
Keputusan itu juga menyaksikan rekod tanpa kalah Sporting sepanjang 14 perlawanan terakhir di tempat sendiri musnah.