UCL: AC Milan 'titik' Real Madrid di Santiago Bernabeu

Muzaffar Musa
November 6, 2024 11:18 MYT
REAL MADRID 1 AC MILAN 3
AC Milan mencipta kejutan apabila menumbangkan juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Real Madrid, 3-1 di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.
Keputusan itu menyaksikan Milan melonjak ke tangga ke-18 UCL dengan enam mata daripada empat perlawanan -- jumlah mata yang sama dengan Madrid tetapi satu kedudukan di bawah, dibezakan jumlah jaringan-bolos.
Malick Thiaw menanduk masuk gol pembukaan pelawat pada minit ke-12 selepas menerima bola daripada sepakan penjuru Christian Pulisic.
Bagaimanapun, kegembiraan itu hanya bertahan selama 11 minit sebelum Emerson Royal didapati bersalah menjatuhkan Vinicius Junior dalam kawasan penalti dan penyerang kebangsaan Brazil itu kemudian tenang menyamakan kedudukan buat Madrid dari jarak 12 ela.
Milan kendalian Pailo Fonseca memastikan mereka menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol apabila bekas penyerang Madrid, Alvaro Morata, melakukan penyudah jarak dekat dengan memanfaatkan bola muntah daripada percubaan awal Rafael Leao.
Leao kemudian sekali lagi terlibat dengan gol ketiga Milan dalam babak kedua, kali ini menurusi larian pantasnya yang disudahkan dengan hantaran lintang ke belakang untuk diselesaikan Tijjani Reijnders bagi memastikan kemenangan selesa Rossoneri.
#bola sepak #Real Madrid #Liga Juara-Juara Eropah #UCL #AC Milan
;