Tambahan dana perkasa bakat Sukan Olimpik, KBS Masters Games perluas skop umur
Shaiful Shamsudin
November 21, 2024 18:46 MYT
November 21, 2024 18:46 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yakin cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyuntik dana tambahan kepada beberapa jenis sukan seperti memanah, angkat berat, menembak dan taekwando mampu melonjak peluang mereka untuk menggilap lebih ramai bakat-bakat baru.
"10 sukan akan disenaraikan. Sukan-sukan ini dipilih kerana ia dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.
"Dan penting untuk Malaysia mempelbagaikan usaha membangunkan bakat dalam sukan ini.
"Sekarang, sukan-sukan ini perlukan campur tangan," katanya.
Hannah yang ditemui dalam Majlis Perasmian Temasya KBS Masters Games 2024 hari ini turut memaklumkan bahawa temasya ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan melibatkan individu berusia 40 tahun ke atas.
Menariknya seramai 17 bekas atlet kebangsaan, juara dunia dan selebriti yang akan turut serta dalam 12 jenis sukan yang dipertandingkan seperti pickleball, olahraga master, renang, berbasikal dan boling padang.
"Penyertaan kali ini sangat memebrangsangkan, melebihi 1,5000 peserta. Usia peserta tertua adalah 49 tahun dalam olahraga.
"Dengan adanya kesedaran bahawa sukan adalah untuk semua, tidak kira umur maka kami adakan platform pertandingan.
"Dengan adanya pertandingan maka adanya latihan, latihan itu yang akan menjamin gaya hidup sepanjang masa.
"Kos penganjuran ini tidak melebihi RM2 juta.
"12 sukan akan dipertandingkan pada hujung minggu ini. Saya berharap dengan adanya kesedaran ini, persatuan-persatuan sukan dapat menarik minat warga emas untuk belajar sukan baru ini," katanya.