Sukma Sarawak 2024: Wilayah Persekutuan tepati ramalan menang emas gimrama berpasukan

Muzaffar Musa
August 17, 2024 20:08 MYT
Penguasaan Wilayah Persekutuan dalam saingan gimrama berpasukan berterusan apabila tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kilauan emas cara itu dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di Pusat dagangan Borneo, Kuching hari ini.
Secara tradisinya, Wilayah Persekutuan merupakan kuasa besar gimrama dalam saingn Sukma dan mereka meletakkan sasaran enam emas dalam edisi kali ini.
Memulakan misi itu, Nur Zhafirah Wong, Cassidy Tan Jia Xin, Rhea Dhaliwall dan Sui Ru-zanne, mengungguli kesemua rutin -- bola, gelung, belantan dan reben -- untuk meraih emas kategori berpasukan.
Pengurus pasukan itu, Clarissa Lee, berkata kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis: "Rahsia yang utama, sebagai atlet sudah pasti mereka perlu berdisiplin.
"Dengan adanya disiplin, barulah mereka akan berlatih bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran yang mereka mahukan.
"Ada rezeki memang kami mahu mencapai sasaran tetapi ia terpulang kepada hari pertandingan.
"Ia sukan teknikal, jadi atlet perlu kuat daripada segi mental dan tidak berputus asa," katanya.
#gimrama #Sukan Malaysia #Wilayah Persekutuan #Sukma Sarawak 2024