Sukma Sarawak 2024: Perseteruan keluarga jadi tumpuan, MSWP sedia beri cabaran

Najmi Iman
August 17, 2024 14:25 MYT
Bekas atlet menembak negara, Hameleay Abd Mutalib, membuat kemunculan semula apabila membuat penampilan sebagai jurulatih bagi kontinjen Wilayah Persekutuan dalam temasya dwitahunan itu.
Lebih menarik, Hameleay akan berdepan cabaran daripada kem pasukan Negeri Sembilan yang dibarisi oleh adik bongsunya, Ammar Syawal selain dilatih oleh bapa kandungnya sendiri, Abdul Mutalib Razak, di Sukan Malaysia (Sukma Sarawak) 2024.
Namun, perseteruan keluarga tersebut tidak sesekali menjadi pincang meskipun mereka dianggap sebagai musuh antara satu sama lain ketika di pertandingan sedang berlangsung.
Menurut Hameleay, dia tidak tergugat dengan kemampuan pasukan Negeri Sembilan walaupun diperkuat oleh tiga pemain kebangsaan serta memberi amaran bahawa segala pendekatan dan rahsia ayahnya berada dalam genggaman.
"Perkara utama yang perlu saya buktikan ialah perlu memberikan cabaran yang setimpal, lebih-lebih lagi pasukan Negeri Sembilan yang saya sendiri nampak sebagai saingan hebat.
"Walaupun kami merupakan satu keluarga, kami tidak akan bercakap ketika sedang bertanding.
"Semangat kesukanan perlu ada," katanya sambil gelak.
Wilayah Persekutuan menjanjikan kejutan melibatkan keseluruhan acara yang bakal dipertandingkan.
"Sudah tiba masa kami membalas kembali jasa kepada negara dengan menggilap lebih ramai atlet muda supaya satu hari nanti boleh berbakti kepada negara," ulasnya.
#Menembak #Sukan Malaysia #Wilayah Persekutuan #Sukma Sarawak