Sukan Asia Hangzhou: Sharul Aimy permata baru gimnastik
Shaiful Shamsudin
September 30, 2023 15:31 MYT
September 30, 2023 15:31 MYT
Jurulatih negara, Ng Shu Wai, menganggap gimnas berusia 22 tahun, Sharul Aimy, meraih pingat gangsa acara melombol Sukan Asia Hangzhou, semalam, sebagai pengganti terbaiknya selepas menamatkan kemarau 17 tahun temasya itu.
Prestasi tidak konsisten gimnas lelaki sejak sedekad lalu menyaksikan Malaysia acap bergantung kepada gimnas wanita seperti Farah Ann Hadi, Rachel Yeoh termasuk Zarith Iman.
"Saya sangat gembira dan boleh nampak potensi dalam apparatus melombol kerana kakinya lebih kuat.
"Jadi kami boleh lebih buat lebih banyak dalam acara melibatkan kakinya.
"Persekutuan banyak memberi peluang dalam melahirkan gimnas terutama wanita jadi kami mahu capai ke peringkat lebih tinggi.
"Perbincangan kami melibatkan bagaimana untuk bangkitkan prestasi atlet lelaki dan kami mendapat kerjasama daripada banyak pihak untuk menjalani latihan dan menyertai kejohanan.
"Sejak kecil lagi Sharul memang memasang impian untuk menjejaki kejayaan saya untuk menaiki podium.
"Saya sangat gembira bagi pihaknya sebab sudah berdiri sama tinggi dengan saya.
"Saya harap dia teruskan usaha dan ini hanya permulaan karierya.
"Saya harap dia terus merendah diri dan berusaha demi mencipta kejayan lebih tinggi daripada saya," kata pemenang perak Sukan Asia Doha 2006 itu.