Skuasy Remaja Terbuka KL: Ayesha Rania cipta sensasi juarai B-19
Shaiful Shamsudin
December 8, 2024 22:03 MYT
December 8, 2024 22:03 MYT
Selepas membuat kejutan dengan menundukkan pemain pilihan pertama, Anrie Goh, dalam suku akhir kelmarin, Ayesha Rania Syed Kebir meneruskan rentak cemerlangnya apabila menumbangkan seorang lagi pemain pilihan, Keira Hickox, dari Kanada untuk menjuarai kategori B-19 Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Kuala Lumpur di Pusat Skuasy Nasional, Jalan Duta.
Menariknya, perlawanan hari ini seakan-akan memihak kepada Ayesha Rania sejak dari awal lagi apabila dia dengan mudah memastikan set pertama dengan kemenangan 11-3.
Skrip sama terjadi dalam set kedua apabila Ayesha Rania berhasil menutup perlawanan dengan keputusan serupa 11-3.
Namun, Keira hampir melakar kebangkitan dalam set ketiga dengan dius 10-10, sebelum Ayesha Rania tampil lebih unggul untuk menjuarai dengan kemenangan 12-10.
"Saya mendahului jauh dan mula selesa dengan kedudukan itu. Tetapi lawan mula menghambat kedudukan dan meletakkan saya dalam kesukaran.
"Jadi saya perlu atur semula permainan untuk menang dan bekerja lebih keras dalam dius.
"Tekanan sepatutnya terletak di bahunya kerana saya adalah underdog.
"Kemenangan ke atas pilihan pertama dalam suku akhir membantu (melonjak keyakinan) saya," katanya.