Skuad negara rasai kehilangan Izzati -- Farahiyah

Astro Arena
May 23, 2017 20:18 MYT
Pemain futsal wanita, Farahiyah Muhd Ridzuan, bersedia menggalas tugas sebagai kapten pasukan demi membantu skuad negara mengejar misi meraih pingat emas dalam Sukan SEA, 19-30 Ogos ini.
Selepas Nur Izzati Khairudin terpaksa direhatkan akibat kemalangan tiga bulan lalu, Farahiyah diberi tanggungjawab menggantikan pemain itu selaku kapten.
Dia yang mula beraksi dalam Sukan SEA sejak edisi 2007 di Korat, Thailand diberi kepercayaan penuh oleh jurulatih apabila sering mempamer aksi konsisten di samping muncul penjaring terbanyak dalam Kejohanan Futsal Wanita AFC, dua tahun lalu.
Tidak menolak merasai kehilangan Izzati, Farahiyah percaya semangat rakan karibnya itu sentiasa ada bersama pasukan untuk mengharumkan nama negara Ogos ini.
"Sangat terasa kehilangannya," katanya. "Yalah sebab akan bermain di tempat sendiri, sudah tentu kami sasarkan sesuatu, dan apabila sudah jadi macam ini, kami terima sajalah.
"Kami redha dan akan lakukan yang tebaik. Kami akan buat untuk kawan-kawan seperti Izzati."
Skuad futsal negara bakal menjalani kem motivasi selama tiga hari di Port Dickson sebelum kembali memulakan latihan pusat pada Jumaat ini.
"Untuk aktiviti ini, saya rasa baik sebab boleh nampak kerjasama sepasukan kerana masing-masing bekerja dan latihan juga tidak menentu," tambahnya.
#SukanSEA #Malaysia
;