Skuad bola keranjang akan harungi aksi pemanas badan berkualiti
Astro Arena
May 23, 2017 20:11 MYT
May 23, 2017 20:11 MYT
Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) mengesahkan aksi Pra-Sukan Sea Kuala Lumpur diadakan dari 13-17 Jun, dengan skuad lelaki dan wanita akan diuji dengan lawan berkualiti.
Stadium MABA sebelum ini sudah pun melalui kerja menaik taraf dengan tempoh lebih kurang tiga bulan sebelum Kuala Lumpur membuka tirai pada 19-30 Ogos ini.
MABA sudah pun memanjangkan jemputan kepada skuad kebangsaan Scotland dan pasukan dari Shanghai untuk menjadi sebahagian aksi pemanas badan buat skuad wanita
Sementara itu, skuad lelaki dijadualkan menentang kelab dari Australia dan dua wakil bertaraf universiti dari Taiwan.
Keutamaan MABA adalah untuk memastikan pasukan lelaki dan wanita negara memiliki aksi pemanas badan berkualiti untuk memburu pingat dan mempertahankan emas buat skuad masing-masing.
"Kami sudah sedia, sangat serius. Kami sudah menjalani latihan di dalam dan luar negara, jadi skuad lelaki dan wanita kedua-duanya menyasarkan pingat," kata Setiausaha Agung MABA, Datuk Lee Yuen Fong.
Kredibiliti skuad lelaki menyumbang pingat dalam Sukan SEA, bagaimanapun, mencetuskan tanda tanya susulan keputusan tidak memberangsangkan dalam Kejohanan Asia Tenggara (SEABA) di Filipina, 12-18 Mei lalu.
Mengulas mengenai prestasi Malaysia yang menamatkan kempen di tangga keempat, jauh ditinggalkan juara, Filipina, dan turut ditewaskan Thailand dan Indonesia dalam kejohanan itu, Fong berkata:
"Saya rasa ia terlalu awal untuk merumuskan prestasi skuad tetapi kami tidak sabar untuk mencari keputusan yang lebih baik. Dalam perlawanan itu, kami menemui tahap kecergasaan."