Siapa sangka Portugal Juara?

Burn Thevandran
July 11, 2016 07:23 MYT
Portugal mencipta sejarah apabila muncul juara buat pertama kali selepas mengharungi 35 perlawanan dalam kejohanan EURO yang bermula pada 1960.
Siapa sangka skuad Portugal yang tidak diberikan harapan untuk pergi jauh dalam edisi kali ini mampu melangkah ke pentas final dan menewaskan pasukan tuan rumah, Perancis yang dibantu 82,000 penyokong tuan rumah di dalam stadium.
Layak ke peringkat 16 pasukan dengan hanya bersandarkan status selaku pasukan di tangga ketiga terbaik, tiada siapa yang percaya akan keupayaan skuad bimbingan Fernando Santos mampu melepasi halangan Croatia. Ini adalah kerana Portugal gagal mencipta sebarang kemenangan dalam 3 perlawanan di peringkat kumpulan dan rata-rata penganalisa bola sepak antarabangsa memilih Croatia untuk layak ke peringkat suku akhir berdasarkan persembahan cemerlang menumbangkan bekas juara bertahan Sepanyol di peringkat kumpulan. Namun jangkaan mereka ternyata tidak tepat apabila kuda tua, Quaresma memastikan Portugal menang 1 - 0 dan layak ke peringkat suku akhir bertemu Poland.
Dalam pertemuan bertemu Poland, Portugal berjaya memenangi perlawanan menerusi penentuan sepakan penalti 3 – 5 selepas perlawanan terikat 1 sama sekaligus membuka kembali mata pneganalisa dan pengkritik bola sepak antarabangsa untuk kembali memberikan tumpuan kepada barisan pemain-pemain Portugal yang akan bertemu Wales di peringkat separuh akhir.
Namun skripnya tetap sama, hampir 80% pakar bola sepak dunia percaya bahawa Wales akan melangkah mudah ke pentas final berdasarkan prestasi semasa mereka yang menumbangkan pasukan no 1 Eropah, Belgium di peringkat suku akhir. Pun begitu, itu semua hanyalah perkiraan di atas kertas sahaja, dan Cristiano Ronaldo dan rakan-rakan sekali lagi membuktikan bahawa cabaran mereka tidak harus dipandang mudah apabila menang 2 – 0 untuk menempah slot ke perlawanan akhir.
Biarpun sudah berada di pentas final, skuad Portugal kali ini tidak begitu digemari apabila sekali lagi dilabel sebagai pasukan bukan pilihan dan ramai yang memilih Perancis unutk muncul juara atas kelebihan menumbangkan juara dunia Jerman dan juga selaku pasukan tuan rumah. Namun akhirnya, keputusan perlawanan memihak kepada Portugal biarpun bermain 80% perlawanan tanpa tonggak utama Cristiano Ronaldo. Jadi, dah percaya belum Portugal juara Euro 2016 ? Bola kan bulat.
#Blog
;