sukan-badminton
Rexy sanjung kecemerlangan Sze Fei-Nur Izzuddin
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, menyanjung aksi cemerlang dipamerkan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, ketika menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi minggu lalu.
Gandingan nombor dua dunia itu menamatkan penantian 15 tahun wakil negara muncul juara kejohanan berkenaan, yang kali terakhir dimenangi Zakry Latif dan Faruzizuan Tazary pada 2010.
Sze Fei dan Nur Izzuddin menewaskan lawan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, dalam aksi final di New Delhi dan Rexy berasakan kedua-dua pemain itu telah mempamerkan aksi berkualiti tinggi dan mampu memberikan inspirasi buat pemain-pemain lain, termasuk yang berada di bawah naungan BAM.
"Gembira melihat prestasi konsisten mereka, saya harap ia akan menjadi motivasi kepada pemain-pemain kita yang lain," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
"Beregu muda negara boleh melihat bahawa wakil Malaysia mampu pergi jauh dan peluangnya sentiasa ada."