Rekod Bolt akan bertahan lebih 10 tahun

Penulis Jemputan
September 6, 2017 10:29 MYT
Bekas pelari pecut Jamaica, Usain Bolt, yakin rekod yang dipegangnya dalam acara pecut akan bertahan dalam tempoh yang panjang.
Bekas pelari Olimpik itu kini berada di Jepun bagi tujuan promosi selepas sebulan bersara daripada arena balapan dan dia menyifatkan rekodnya tidak akan dipecahkan oleh sesiapa pun dalam tempoh terdekat.
“Saya rasa ia akan bertahan lama. Era kami bersama Yohan Blake, Justin Gatlin dan Asafa Powell adalah yang terbaik. Jika ia diperbaharui, saya rasa ia akan mengambil masa selama 15 ke 20 tahun,” kata Bolt.
Bolt memenangi acara 100 dan 200 meter dalam tiga Sukan Olimpik berturut-turut, sekaligus muncul sebagai satu-satunya atlet yang memegang rekod tersebut.
Dia memegang rekod terpantas dalam acara 100m (9.58 saaat) dan juga 200m (19.19s) yang dilakukan pada tahun 2009.
Dia juga tidak melihat mana-mana atlet mampu mencipta rekod baru atau sama pantas dengannya.
“Sukar untuk saya memilih seseorang yang layak. Saya rasa apa yang saya miliki bukan hanya kepantasan berlari tetapi perwatakan yang saya ada.
"Jika anda mahu menjadi bintang dalam sukan, anda harus membuatkan orang ramai mengenali anda secara individu dan bukan sekadar di trek.”
Dia kini berusia 31 tahun dan tidak merancang untuk kembali ke kancah trek walaupun wujud banyak usaha untuk membawanya kembali.
#Usain Bolt #Justin Gatlin #Jamaica #Asafa Powell #100m
;