'Ramai wanita mungkin disingkir andai bergantung kepada ujian testosterone' - IOC

King Hisyam
August 3, 2024 13:55 MYT
"Imane Khelif adalah wanita, dilahirkan sebagai wanita, didaftarkan sebagai wanita, membesar dan dibesarkan sebagai wanita, bertinju sebagai wanita dan memiliki pasport wanita".
Itu yang ditegaskan oleh jurucakap Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Mark Adams, dalam kenyataan terbaharu dibuat hari ini.
Ia bagi menafikan situasi kritikan dan pertelagahan yang berterusan dari pelbagai pihak selepas insiden perlawanan antara atlit Algeria itu dengan Angela Carini dari Itali yang terpaksa menarik diri selepas beberapa
saat berlangsungnya perlawanan.
Pendirian IOC itu sememangnya bercanggah dengan keputusan yang pernah dibuat oleh Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) yang pernah membatalkan penyertaan Khelif tahun lalu ketika beliau beraksi dalam Kejohanan Dunia Wanita yang berlangsung di New Delhi selepas didapati gagal melepasi kriteria kelayakan jantina.
Bagaimanapun Mark Adams ketika mengadakan satu sidang media menjelaskan bahawa tidak pernah ada isu membabitkan transgender yang ditimbulkan oleh Khelif, sebaliknya ia adalah tanggapan yang silap oleh beberapa pihak.
"Wanita ini telah bertanding dalam beberapa pertandingan sejak beberapa tahun lalu. Bagaimanapun harus diingat bahawa ujian testosterone bukanlah satu ujian yang segalanya tepat dan sempurna.
"Ramai wanita yang mungkin akan disingkirkan seandainya kita hanya bergantung kepada ujian tahap testosterone semata-mata yang mungkin akan disimpulkan seseorang atlit wanita itu sebagai 'lelaki' sedangkan mereka adalah wanita tulen" Tegasnya dalam sidang media tersebut.
Sehingga saat ini jelasnya pihak IOC akan mempertahankan pendirian bahawa Khalef adalah kekal berstatus wanita dan layak untuk meneruskan acara yang disertainya dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam masa yang sama pendirian itu juga turut digunapakai terhadap seorang lagi atlit tinju wanita dari Chinese Taipei, Lin Yu Ting yang turut dipertikaikan status kewanitaanya pada kejohanan kali ini
#olimpik #Paris #Paris 2024 #Imane Khelif #Khelif
;