Prestasi pengadil, VAR setakat ini membanggakan - FAM
Najmi Iman
November 15, 2024 17:32 MYT
November 15, 2024 17:32 MYT
Prestasi pengadil perlawanan berada pada tahap membanggakan selain penggunaan sistem teknologi video bantuan pengadil (VAR) telah membantu meningkatkan standard pengadil dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram berkata, ia berdasarkan analisa yang telah dilakukan oleh Unit Pengadil FAM bagi 110 perlawanan di Liga Super dan Piala FA yang telah menggunakan teknologi VAR.
Menurutnya, berdasarkan analisa tersebut, sebanyak 61 ‘On Field Review’ (OFR) telah dilakukan dengan purata 0.55 ‘OFR’ satu perlawanan.
"Bola sepak zaman moden lebih mirip kepada kelancaran perlawanan dan purata OFR yang melebihi tiga dalam satu perlawanan akan memberi gambaran yang buruk kepada prestasi pengadil.
"Inilah penanda aras yang sedang digunakan oleh AFC dan FIFA bagi menilai keberkesanan penggunaan teknologi VAR.
"Hasil kajian data juga mendapati hanya terdapat dua perlawanan Liga Super yang mana prestasi pengadil dan keberkesanan penggunaan VAR termasuk perlawanan di antara Perak lwn Johor Darul Ta'zim (JDT) menunjukkan keputusan pengadil kurang tepat," katanya.
Dia berkata, jumlah aduan yang diterima juga tidak banyak dengan empat aduan sahaja iaitu 3.63% daripada 110 perlawanan yang telah dilangsungkan.
"Daripada empat aduan, hanya satu aduan menunjukkan keputusan pengadil kurang tepat. Ini bermakna, penggunaan VAR dan prestasi pengadil bagi 108 perlawanan adalah amat baik.
"Dapatan data ini juga menunjukkan bahawa prestasi pengadil setakat ini berada pada satu tahap yang cukup membanggakan dan penggunaan teknologi VAR telah membantu meningkatkan standard pengadil," ujarnya.
Sebelum ini, isu pengadilan dan prestasi VAR dipersoalkan selepas insiden membabitkan pemain JDT, Arif Aiman Hanapi, dan pemain Perak, Tommy Mawat Bada, dalam aksi Liga Super di Iskandar Puteri, Johor Ahad lepas.
Kejadian berpunca selepas Tommy Mawat cuba menghalang larian Arif Aiman menyebabkan berlakunya pertelingkahan antara kedua-dua pemain itu.
Pemain pertahanan Perak tersebut dilihat mencekik Arif Aiman sebelum pemain JDT itu menumbuk kepada Tommy Mawat.
Bagaimanapun, kedua-dua pemain hanya dilayangkan kad kuning selain tiada pemeriksaan VAR dilakukan ke atas insiden tersebut.
Kredit--Sinar Harian