Polis Sepanyol tingkat angka dakwaan kes rasuah pengadil cecah RM39 juta

Ammar Hakim
December 6, 2024 18:23 MYT
Polis Sepanyol telah meningkatkan nilai wang yang diterima oleh bekas Naib Presiden Jawatankuasa Pengadil (CTA), Jose Maria Enriquez Negreira, oleh Barcelona antara 2001 dan 2018 kepada EURO8.4 juta, berikutan siasatan yang dijalankan.
Menurut laporan Football Espana, Negreira dan Barcelona, ​​serta individu yang pernah memimpin Barca, Sandro Rosell, Josep Maria Bartomeu dan Joan Laporta (presiden semasa), sedang disiasat atas dakwaan rasuah, rasuah sukan dan pemalsuan dokumen.
Nilai terdahulu sudah mencecah sekitar EURO7.5 juta, namun La Razon mendedahkan terdapat bayaran yang dibuat berkaitan dengan Negreira, dengan secara keseluruhan mencecah EURO 8,389,599.73 sepanjang 17 tahun. Laporan yang difailkan oleh majistret penyiasat, Joaquin Aguirre, mengatakan terdapat petunjuk jelas tentang percubaan untuk mendapatkan faedah kewangan yang tidak wajar.
Barcelona tetap tidak bersalah sepanjang tempoh penyiasatan, dengan Laporta mendakwa bayaran yang dibuat kepadanya adalah untuk perundingan mengenai persembahan pengadil sepanjang tempoh itu.
Laporan setebal 162 muka surat itu mengatakan bahawa daripada angka ERUO8.4 juta itu, mereka tidak dapat mengesan destinasi EURO3.2 juta.
Siasatan telah dijalankan selama 18 bulan, dan nampaknya akan berlarutan, memandangkan ia kini di peringkat pra-perbicaraan.
Sebilangan pasukan LaLiga telah memohon untuk dimasukkan ke dalam kes itu sebagai mangsa insiden itu, termasuk Real Madrid dan Sevilla.
#Barcelona #LaLiga
;