Piala Presiden: T-Team cemas sebelum ke suku akhir
Tengku Danish Bahri
August 1, 2017 18:13 MYT
August 1, 2017 18:13 MYT
Naib juara musim lalu, T-Team menarik nafas lega apabila berjaya menempah slot ke suku akhir selepas mengutip satu mata berharga ketika seri 1-1 dengan Selangor dalam Piala Presiden di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang semalam.
Ketua jurulatihnya, Tengku Hazman Raja Hassan, mengakui pasukannya menghadapi kesukaran untuk melepasi benteng Selangor yang dilihat turut menguasai jentera tengah.
Tambahnya lagi, T-Team berada dalam tekanan sebaik sahaja ketinggalan dan dibolosi dengan gol mudah yang agak mencemaskan mereka.
“Selangor seperti sudah membuat ‘kerja rumah’ dan mengetahui kekuatan serta kelemahan kami. Saya akui pemain-pemain gagal mencipta gerakan menyerang,” ujar Tengku Hazman.
Bagi pengendali Selangor, Omar Ali, dia nyata berpuas hati meskipun melepaskan banyak peluang terhidang dalam separuh masa pertama.
Kemampuan membuat asakan berbahaya, katanya, cukup menggembirakan sambil memuji tentangan diberikan pasukan lawan.
“Saya tidak memberitahu pemain-pemain kami naik ke tangga kedua (Kuala Lumpur dipotong mata sejam sebelum beraksi) dan hasilnya, mereka bermain bersungguh-sungguh.
“Sepatutnya, kami mendahului 2-0, namun dikecewakan tindakan penyudah. Secara keseluruhan, kami menunjukkan banyak peningkatan,” tambahnya lagi.
Dalam perlawanan itu, Selangor mendahului pada minit ke-18 selepas sepakan percuma Mohd Faizuddin Mohd Abidin gagal dibaca penjaga gol tuan rumah, Nik Mohd Amin Ahmad.
Minit ke-40, Faizuddin berpeluang menggandakan jaringan, namun rembatan lencongnya ditepis keluar Nik Mohd Amin.
T-Team diberikan sepakan percuma di dalam kotak penalti lawan pada minit ke-44 dan kesempatan itu disempurnakan Mohd Zarulizwan Mazlan untuk gol penyamaan pasukannya.
Bersambung dalam babak kedua, Selangor terus mendominasi permainan, menyaksikan percubaan Badrul Amin Roslan (m-55) tepat ke dakapan penjaga gol tuan rumah.
Lima minit kemudian, giliran Muhammad Azizul Baharuddin menguji kubu T-Team, namun rembatannya pula sekadar tinggi.
Tuan rumah sesekali melakukan asakan, begitupun terus buntu selepas Mohd Zuasyraf Zulkiefle gagal menyempurnakan peluang di dalam kotak penalti pada minit ke-87.
T-Team akan bertemu Terengganu manakala Selangor berkunjung ke Johor Darul Ta’zim (JDT) III pada suku akhir pertama, 18 September ini.
Dua lagi aksi suku akhir menemukan Kuala Lumpur menentang Kedah dan juara bertahan, Kelantan menghadapi Negeri Sembilan.