MALAYSIA 3 TIMOR LESTE 2

Dua gol daripada pemain veteran, Paulo Josue, memastikan Harimau Malaya mengelak daripada diabkan Timor Leste di laman sendiri apabila mencatatkan kemenangan 3-2 dalam aksi Kumpulan A, Piala ASEAN Mitsubishi Eletric (AMEC) di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Syafiq Ahmad terlebih dahulu meletakkan Malaysia di depan dengan menyudahkan lintangan Fergus Tierney pada minit ke-37.

Bagaimanapun, Harimau Malaya dibolosi dua gol dalam waktu kecederaan separuh masa, bermula dengan satu gerakan serangan balas pantas yang disusuli larian pantas Joao Pedro sebelum disudahkan Olagar Xavier.

Dua minit kemudian, Timor Leste menggandakan jaringan mereka menerusi satu lagi larian pantas Joao Pedro tetapi kali ini, ia disudahkan sendiri kapten pasukan pelawat itu.

Sedar tanggungjawab besar digalasnya bagi menyelamatkan maruah negara, Paulo menyamakan kedudukan pada minit ke-70 dengan bijak menghidu lambungan jauh Endrick sebelum melakukan penyudah rendah ke gawang lawan.

13 minit selepas itu, pemain berusia 35 tahun berkenaan menjadi wira negara dengan menjaringkan gol kemenangan menerusi tandukannya selepas menerima lintangan Fazrul Amir Md Zaman.

Dengan kemenangan itu, Malaysia menduduki tangga teratas Kumpulan A dengan empat mata daripada dua perlawanan tetapi Thailand dan Singapura berkelebihan satu perlawanan dalam tangan, masing-masing dengan tiga mata.

Skuad negara seterusnya akan menghadapi Thailand di Stadium Rajamangala pada Sabtu ini.