Persahabatan Antarabangsa: Pau Marti cabar pemain Harimau Malaya

Muzaffar Musa
November 13, 2024 21:08 MYT
Barisan pemain Harimau Malaya tampak tidak ada masa untuk 'goyang kaki' menjelang aksi persahabatan tier 1 bertemu Laos di Bangkok malam esok.
Ini apabila ketua jurulatih, Pau Marti Vicente, meletakkan permintaan tinggi untuk perlawanan itu, di mana jurulatih dari Sepanyol berkenaan bukan sahaja mahu anak buahnya mencapai kemenangan, bahkan menuntut aksi terpuji menerusi falsafah bola sepak yang diterapkannya.
Skuad negara dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Laos berdasarkan perbezaan ranking dunia.
Dengan Malaysia berada di kedudukan ke-133 berbanding lawan di tangga ke-187 itu, Pau Marti mengakui keputusan perlawanan berkenaan perlu seiring dengan corak permainan skuad negara.
"Sudah pasti apabila anda menang, anda akan berasa lebih bagus tetapi pada masa sama dalam bola sepak, ada perlu mencuba bermain dengan cara anda," katanya kepada FAM TV seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Sejak saya menjadi jurulatih, ia sudah lebih dua bulan dan adakalanya, kami kekurangan masa tetapi kami masih perlu membina keyakinan untuk terus bermain dengan pendekatan baru ini.
"Pemain perlu lebih yakin dengannya. Kemenangan amat penting tetapi untuk dapat bermain dengan cara kami lebih penting bagi jangka panjang," katanya.
Selepas aksi berdepan Laos, skuad negara akan bertandang ke Hyderabad bagi satu lagi aksi persahabatan menentang India pada Isnin.
#bola sepak #Harimau Malaya #Persahabatan Antarabangsa #Pau Marti Vicente
;