Perak akan cuba beri yang terbaik -- Durakovic
Penulis Jemputan
July 26, 2017 13:01 MYT
July 26, 2017 13:01 MYT
“Apa yang yang kita ada, kita gunakan sebaik mungkin,” itu tegas jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, beberapa jam sebelum pertembungan tumpuan membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pasukannya di Stadium Larkin, malam ini.
Tegas Durakovic, beliau menerima kelebihan JDT di atas kertas, namun itu tidak bermaksud memberikan 90 minit yang mudah buat pasukan tuan rumah.
Perak akur dengan syarat kontrak bekas pemain JDT, Mohd Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin, yang dipersetujui khidmat mereka tidak boleh digunakan dalam pertembungan dengan JDT, membuatkan Durakovic bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Kecederaan yang dialami Shahrom Kalam sedikit-sebanyak merencatkan perancangan Durakovic yang tidak mahu keciciran mata.
"Tanpa kelibat beberapa pemain yang tidak beraksi, ia memberikan ruang buat pemain lain membuktikan kebolehan mereka," katanya.
Tegas Durakovic, beliau tidak memiliki banyak masa untuk mempersiapkan anak buahnya, hanya mereka melewati proses pemulihan biasa ekoran jadual perlawanan yang padat.
"Kami akan cuba yang terbaik dalam perlawanan ini dengan cara kami. Kami mengucapkan semoga berjaya kepada mereka tetapi Perak tetap akan berusaha mendapatkan tiga mata penuh."
Perak adalah antara kelab yang sentiasa memberi cabaran kepada juara Liga Super, JDT, dan musim ini dengan dua kemenangan, dua kekalahan dan satu seri.