Pengasingan Leipzig bantu Olmo sesuaikan diri lebih pantas
Nafis Abdullah
May 19, 2020 05:59 MYT
May 19, 2020 05:59 MYT
Pengasingan kem latihan RB Leipzig telah membantu Dani Olmo untuk menyesuaikan diri lebih pantas, kata Yussuf Poulsen.
Olmo menyinar di pentas Liga Juara-Juara Eropah buat Dinamo Zagreb bagi musim 2018-19 sehingga menarik perhatian Barcelona -- yang ditinggalkan ketika berusia 16 tahun -- dan Juventus.
Namun, Leipzig menjadi pilihannya pada Januari lalu.
Dia hanya sempat tampil lima kali di bawah kendalian Julian Nagelsmann sebelum wabak coronavirus menyebabkan Bundesliga ditangguhkan selama dua bulan.
Tatkala dia terlepas tempoh latihan, Poulsen percaya Olmo telah menggunakan kesempatan secara peribadi untuk merapatkan diri dengan rakan sepasukan baru.
"Olmo mampu memberikan banyak perkara buat kami. Dia sangat bagus, berbakat dan memiliki masa cukup untuk berada di atas padang di masa depan. Saya pasti kerana dia seorang pemain yang bagus," kata penyerang itu.
"Saya fikir tempoh coronavirus sangat sukar buatnya kerana pemain baru tidak dapat berlatih dengan padang disebabkan kami menjalani latihan dalam kelompok kecil.
"Dalam masa sama, kami menjalani proses pengasingan selama seminggu ketika ini, di mana anda berpeluang mengenali antara satu sama lain.
"Saya fikir ia akan membantunya kerana dia menyesuaikan diri dengan pasukan lebih pantas."