Paris 2024: Johnathan Wong optimis berada dalam prestasi terbaik

Saufi Tahir
July 21, 2024 19:26 MYT
Biarpun temasya kali ini kelibat juara bertahan dari Iran, Javad Foroughi tidak kelihatan, ia sedikitpun tidak memberikan kelegaan buat atlet menembak negara, Johnathan Wong, malah fokus sebaliknya kini beralih kepada saingan pencabar dari Turkiye, Yusuf Dikec.
Menurutnya yang telah bertolak ke Paris hari ini, pencapaian yang diraih di Piala Dunia Munich jadi penanda aras untuknya melakar rekod terbaik selepas penampilan di Sukan Olimpik di Rio pada 2016 lalu.
Jonathan merupakan atlet malaysia ke-3 yang mendapat tempat dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris dan ini akan menjadi penampilan kedua dia dalam temasya itu selepas penampilan sulungnya pada 2016 di Rio De Janeiro
"Saya akan cuba buat yang terbaik memandangkan telah jalankan persiapan, berbanding kali terakhir di Munich, saya rasa persiapan kali ini yang terbaik telah kita lakukan.
"Saya harap kali ini di Olimpik saya akan lakukan yang terbaik." katanya.
Dalam pada itu, jurulatihnya, Firdaus Abdul Rahim, berasakan anak buahnya telah mempamerkan peningkatan prestasi sepanjang fasa latihan ke Paris dan tidak menolak kemungkinan Johnathan mampu melakar kejutan di penampilan olimpik keduanya itu.
"Dalam seminggu terakhir kita dapat lihat prestasi dia semakin baik jadi dia tidak terlalu awal dan lambat.
"Saya rasa dia akan dapat keputusan yang baik, dia masih berada di landasan yang terbaik." kata jurulatihnya, Firdaus Abdul Rahim.
#Menembak #Johnathan Wong #Paris 2024