Pemain golf profesional negara, Gavin Green, menganggap penampilan di Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai temasya terbaiknya apabila mengakhiri saingan di kedudukan ke-33 atlet terbaik selepas mengharungi cabaran sukan tersebut.

Gavin membuat 69 pukulan dua di bawah par pada hari terakhir sambil dibantu lima birdie yang mempengaruhi keputusan positif meskipun dihantui tiga bogey pada Ahad.


Dalam masa sama, Gavin turut berjaya memperbaiki pencapaian dua edisi lalu ketika di Tokyo 2021 dan Rio 2016 selain merekodkan 281 pukulan tiga di bawah par secara keseluruhan.

"Hari yang sangat berliku dan penuh cabaran buat saya namun, sekurang-kurangnya saya memperbaiki kedudukan meskipun saya kurang gembira dengan beberapa teknik yang saya pamerkan.

"Temasya di Paris ini merupakan penampilan terbaik saya setakat ini dalam Sukan Olimpik dan saya sangat berpuas hati dengan persembahan tatkala banyak perkara input positif dapat diserap," katanya.