Padang becak jejas rentak kami - Jelius

Willie Jude
March 13, 2018 15:35 MYT
Pengendali Sabah, Jelius Ating, menyalahkan padang becak selain air yang bertakung sebagai menjejaskan rentak permainan mereka ketika seri 1-1 dengan MISC-MIFA dalam aksi liga di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
"Dengan keadaan padang becak selain air yang bertakung, kami tidak dapat melakukan hantaran-hantaran bawah seperti mana cara kami bermain sebelum ini.
"Kami terpaksa melakukan hantaran-hantaran jauh dan cara itu tidak banyak membantu pasukan malam tadi. Apapun, saya bersyukur kerana kami tidak tewas, sekurang-kurangnya kami membawa pulang satu mata dari gelanggang lawan," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.
Jelius berkata walaupun menyasarkan kemenangan, dia tetap puas hati kerana berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga sehingga kini.
Dalam aksi malam tadi, Sabah mendahului pada minit ke-16 menerusi penyerang import, Hector Omar Ramos.
Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Thinagaran Baskaran menanduk masuk bola hasil satu sepakan sudut pada minit ke-29 bagi menjadikan kedudukan 1-1 dan ia kekal sehingga tamat permainan.
Perlawanan malam tadi juga terpaksa dimulakan lewat selepas tertangguh kira-kira 35 minit berikutan hujan lebat.
Dalam pada itu, Jelius berkata dia akan memberi peluang kepada pemainnya untuk cuti rehat selama tiga hari minggu depan kerana perlawanan seterusnya hanya akan berlangsung pada 30 Mac bertemu UiTM FC di Stadium Likas.
"Kami akan kembali ke Kota Kinabalu dan menyambung latihan selama dua hari sebelum memberi mereka cuti tiga hari, kami akan cuba perbaiki lagi kelemahan yang ada," katanya.
Setakat lima perlawanan, Sabah kekal di tangga kedua di belakang Felda United dengan sembilan mata hasil dua kemenangan dan tiga seri.
Bagaimanapun, mereka kini berkongsi mata dengan UiTM yang berada di tangga ketiga dan hanya memiliki kelebihan jaringan.
#bola sepak malaysia #sabah #Liga Perdana #Jelius Ating #MISC-MIFA
;