MPFL: Pahang Rangers kekal rendah diri
Shaiful Shamsudin
August 6, 2023 21:14 MYT
August 6, 2023 21:14 MYT
Ketua jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas, memuji komitmen serta kesungguhan yang ditampilkan barisannya ketika merakamkan ankemenang 7-3 dalam perlawanan akhir pertama Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2023 di Kuantan, malam tadi.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu, bagaimanapun, mengakui masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki pemain-pemainnya menjelang aksi kedua yang di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, 14 Ogos depan.
"Kami perlu terus merendah diri. Pasukan lawan mempamerkan persembahan yang lebih baik daripada kami dalam separuh masa pertama.
"Azrul Hadee Taufiq telah menyelamatkan banyak percubaan berbahaya ke arah gawangnya.
"Jadi saya mengingatkan semula pemain bahawa mereka terlalu menghormati lawan. Mereka kerap kehilangan bola selain memberikan ruang buat lawan.
"Sebaik kami memberi tekanan kepada pemain lawan yang mengawal bola dengan menyekatnya membuat hantaran kepada pivot, kemudian permainan kami menjadi lebih baik.
"Kami menjadi letih dengan melakukannya tapi babak kedua cukup mengagumkan saya," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.
Dia turut mengingatkan pasukannya agar tidak mensia-siakan kelebihan yang dimiliki mereka ketika ini sambil menganggap tugasan berat menanti Pahang Rangers di tempat lawan kelak.
"Saya tidak jangka akan ada 'power play' dalam pertemuan pertama tapi kami masih mampu mengekalkan kelebihan empat gol.
"Impian kami terus bernyala tapi ia masih jauh dalam jangkauan," katanya.
Untuk rekod, Pahang Rangers muncul naib juara MPFL sebanyak dua kali iaitu pada musim 2019 serta 2022.