MFL perjelas isu kemuka rayuan KL City
Najmi Iman
October 25, 2024 21:33 MYT
October 25, 2024 21:33 MYT
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ingin menjelaskan isu berhubung rayuan Kuala Lumpur City berkaitan keputusan First Instance Body (FIB) yang dikenakan ke atas kelab itu selepas siasatan dijalankan.
Pada 12 Ogos 2024, KL City telah menghantar surat susulan keputusan hukuman pemotongan enam mata yang bertarikh 5 Ogos 2024 kepada MFL.
Bagaimanapun, menurut MFL ia bukanlah surat rayuan rasmi tetapi hanya memaklumkan hasrat mereka untuk membuat rayuan serta mengemukakan pelan dan cadangan terperinci selepas pemilihan Presiden baharu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Badan induk itu kemudiannya menerima surat yang bertarikh 24 Oktober 2024 menyatakan mereka ingin membuat rayuan susulan terhadap surat mereka sebelum ini mengenai keputusan siasatan FIB terhadap KL City.
Terdahulu, Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Stanley Bernard, melontarkan hasrat supaya pengurangan enam mata yang dikenakan kepada skuad Warga Kota dikembalikan semula.
Malah, Syed Yazid menjelaskan KL City sanggup membayar tambahan denda sekiranya hukuman tersebut berjaya dilunaskan.
"Bagi tujuan penjelasan, asas rayuan biasanya disertakan dengan dokumen sokongan daripada agensi masing-masing sebagai bukti, untuk membuktikan pelan ke hadapan dan perlu menjelaskan keputusan awal itu sama ada ianya tersasar, tersilap atau berat selain perlu menyatakan mengapa rayuan tersebut adalah wajar," ulasnya.
Unit Perlesenan MFL sedia membantu KL City bagi mengemukakan rayuan sebenar untuk dihantar kepada FIB bagi permohonan mereka sebelum ini.