Masa depan 'Uncle Sam' kini di bahu Pochettino!

King Hisyam
September 11, 2024 13:08 MYT
Bekas pengendali kelab gergasi Inggeris, Tottenham Hotspur dan Chelsea, Mauricio Pochettino kini sah akan mengendalikan skuad bola sepak kebangsaan Amerika Syarikat.
Pengendali kelahiran Argentina itu menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Gregg Berhalter selepas dipecat Julai lalu selepas 'Uncle Sam' tersingkir dari peringkat kumpulan dalam saingan Copa America.
Pengumuman perlantikan Pochettino dibuat hanya beberapa minit selepas negara itu sekadar mencatatkan keputusan seri dalam aksi perlawanan persahabatan dengan New Zealand yang berlangsung di Cincinnati.
Bagaimanapun, tugas yang sedia menanti jurulatih itu tidak mudah dengan Pochettino perlu memperbaiki kedudukan ranking dunia mereka yang semamin merudum.
Amerika Syarikat kini menduduki tangga ke-16 dunia dalam ranking semasa dunia FIFA.
Lebih daripada itu AS juga bakal menjadi tuan rumah bersama dalam penganjuran Piala Dunia 2026 bersama Kanada dan Mexico.
Sudah pastinya Pochettino tidak mahu memalukan diri sendiri untuk menyaksikan Amerika Syarikat akan melalui kegagalan di sepanjang kempen tersebut.
Bebanan Pochettino jauh lebih berat apabila dia bukan sahaja bertanggungjawab terhadap skuad kebangsaan lelaki tetapi juga turut perlu memainkan perananan yang sama terhadap skuad kebangsaan bola sepak wanita Amerika Syarikat.
#Mauricio Pochettino #World Cup #USA