Masa depan Jerman kelihatan cerah
Penulis Jemputan
June 19, 2017 06:30 MYT
June 19, 2017 06:30 MYT
Selepas melakar kemenangan ke atas Australia dalam aksi Kumpulan B, Piala Konfederasi, pengendali Jerman, Joachim Low, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya.
Selepas 10 tahun memegang jawatan itu, jurulatih berusia 57 tahun itu telah mengecapi segala-galanya. Bagaimanapun, dia mengekalkan keterujaan sama sepertimana yang dilakukakan ketika mengambil alih Die Mannschaft pada 12 Julai 2006.
"Esok saya akan melatih mereka," kata Low.
"Ketika memasuki waktu rehat juga, saya akan melakukan perkara sama tetapi pemain perlu menterjemahkannya di atas padang."
Low sebelumnya dikecam ekoran membuat keputusan membawa skuad muda beraksi di Russia dengan ada yang mempersoalkan kredibilitinya sebagai seorang pengendali.
Bagaimanapun, mereka yang menyaksikan perlawanan berdepan Australia di Sochi, malam tadi, telah disajikan dengan aksi bertenaga daripada anak buah Low.
Di sebalik kesilapan mudah dilakukan penjaga gol Bernd Leno, barisan pertahanan Jerman tampak ampuh dengan gandingan Shkodran Mustafi dan Antonio Rudiger.
Julian Brandt mendominasi bahagian sayap apabila sering kali mengucar-ngacirkan pertahanan Australia sehingga berjaya menjadi penyumbang kepada gol pembukaan yang dijaringkan Lars Stindl.
Low turut melontarkan pujian kepada sistem akademi Jerman kerana melahirkan pemain yang memiliki keupayaan teknikal tinggi selepas mengakui pemainnya cepat menyesuaikan diri dengan corak permainannya.
Buktinya, jentera tengah Jerman mudah menukar posisi sehingga menyebabkan pemain Australia bingung.
Jonas Hector membantu serangan di bahagian bek kiri sementara pemain tengah Bayern Munich, Sebastian Rudy, mengepalai jentera tengah bersama-sama Julian Draxler dan Leon Goretzka.
Jerman mampu menang besar andai pemain penyerang, Sandro Wagner, menyempurnakan beberapa peluang keemasan.