Mangsa banjir meningkat 85,000: Warga Astro Arena doakan situasi banjir segera diatasi
Ammar Hakim
November 29, 2024 18:04 MYT
November 29, 2024 18:04 MYT
Situasi banjir di negara ini semakin memburuk dengan tiga lagi negeri dilaporkan mula terjejas iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, menjadikan keseluruhan sembilan negeri terkesan.
Astro Arena doakan agar situasi banjir yang dialami 85,000 mangsa di sembilan negeri segera diatasi.#AstroArena #NadiBola #UnifiPialaMalaysia pic.twitter.com/VS76x83Kb1
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) November 29, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sebelum ini, negeri yang terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Perlis dan Perak.
Di Kelantan, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 61,327 orang dengan 230 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di 10 jajahan berbanding 59,232 orang di 221 PPS, pada pagi Jumaat.
Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 21,856 orang di 53 PPS diikuti Tumpat (9,881 orang, 19 PPS), Tanah Merah (4,435 orang, 26 PPS), Kuala Krai (5,445 orang, 40 PPS) dan Bachok (2,844 orang, 10 PPS).
Banjir turut melanda Pasir Puteh melibatkan 5,276 orang di 25 PPS, Kota Bharu (5,945, 31 PPS), Machang (4,493 orang, 20 PPS), Jeli (558 orang, lima PPS) dan Gua Musang (44 mangsa, satu PPS).
Negeri Sembilan pula merekodkan sebanyak 1,349 mangsa di sembilan PPS di dua daerah terkesan iaitu Tampin dengan 1,127 mangsa di 10 PPS, manakala Kuala Pilah (222 orang, tiga PPS).
Sementara itu, di Melaka dan Johor, banjir dilaporkan di beberapa kawasan, namun belum ada mangsa dipindahkan dan pihak berkuasa sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam pada itu, di Terengganu, mangsa banjir setakat 12 tengah hari menunjukkan peningkatan sebanyak 15,263 orang dengan Besut masih menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa seramai 4,913 orang di 98 PPS daerah itu.
Ini diikuti daerah Hulu Terengganu (4,231 orang, 49 PPS), Setiu (3,566 orang, 42 PPS), Kemaman (1,286 orang, 17 PPS), Marang (667 orang, sembilan PPS), Dungun (669 orang, 15 PPS), Kuala Nerus (67 orang, satu PPS) dan Kuala Terengganu (13 mangsa, satu PPS).
Sementara itu, di Kedah, bilangan mangsa mencatatkan peningkatan sebanyak 2,333 orang daripada 2,284 mangsa pada pagi Jumaat, dengan Kubang Pasu menjadi daerah paling terkesan dengan jumlah seramai 1,612 orang di 13 PPS.
Empat lagi daerah yang terjejas ialah, Sik (514 orang, tujuh PPS), Kota Setar (118 orang, lima PPS), Padang Terap (48 orang, sembilan PPS) dan Pokok Sena (44 orang, tiga PPS).
Sementara itu, banjir di Perlis pula juga mencatatkan peningkatan sebanyak 404 mangsa berbanding 397 orang pada pagi Jumaat.
Sebanyak empat PPS dibuka dan tiga daerah yang terlibat iaitu, Padang Besar dengan jumlah mangsa tertinggi (205 orang, dua PPS), Arau (129 orang, satu PPS) dan Kangar (70 orang, satu PPS).
Di Selangor, bilangan mangsa terus mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 312 mangsa berbanding sebelah pagi, dengan hanya satu daerah yang terlibat dan dua PPS dibuka iaitu di Klang.
Perak turut mencatatkan peningkatan sebanyak 48 mangsa dan dua daerah yang terlibat ialah Batang Padang (28 orang, satu PPS) dan Kerian (20 orang, satu PPS).
Sehingga tengah hari tadi, bilangan mangsa banjir di negeri yang terlibat terus mencatatkan peningkatan kepada lebih 85,000 orang, dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi.