Liga Super: Wan Rohaimi optimis mampu beri Penang nafas baru

Saufi Tahir
November 15, 2024 18:35 MYT
Ketua jurulatih baru Penang, Wan Rohaimi Wan Ismail, percaya pasukannya memiliki kualiti tersendiri untuk bersaing dalam baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Bekas pengendali PDRM itu meletakkan sasaran untuk bawa Harimau Kumbang sekurang-kurangnya berada di kelompok pertengahan carta Liga Super 2024/2025.
Tanpa berselindung, dia mengakui banyak kerja rumah yang perlu dilaksanakan menjelang ujian pertama bertemu Kuching City dalam saingan Pusingan 16 Piala Malaysia 2024 di Stadium Bandaraya, minggu depan.
Untuk rekod, sebelum menyertai skuad Pulau Mutiara, Wan Rohaimi bertugas bersama Kuala Lumpur (KL) City selaku penolong ketua jurulatih kepada Miroslav Kuljanac.
"Saya turut mengikuti perkembangan Penang, apa yang saya kenal pasti pasukan ini ada kualiti. Jadi, bagi saya tidak terlalu sukar untuk membawa perubahan.
"Saya tidak mempunyai banyak masa, hanya punyai seminggu untuk perlawanan pertama saya. Bermula sesi petang ini saya akan lihat aspek yang perlu diperbaiki. Dengan barisan kejurulatihan yang ada, saya yakin akan dapat membawa perubahan dalam masa terdekat." katanya kepada Astro Arena.
#bola sepak #Penang #Wan Rohaimi Wan Ismail #Liga Super 2024/25
;