Liga A1 Semi-Pro: Kuala Lumpur Rovers tersepit masalah gaji tiada tempat mengadu
Najmi Iman
November 6, 2024 19:07 MYT
November 6, 2024 19:07 MYT
Satu lagi kelab Liga A1 Semi-Pro, Kuala Lumpur Rovers, mengalami situasi yang hampir sama seperti Putrajaya Antlers apabila menghadapi masalah kewangan yang semakin parah.
Semua pihak seolah-olah cuci tangan daripada menyelesaikan kemelut itu dan ini menimbulkan rasa kesal daripada ketua jurulatih KL Rovers, Wan Mustafa Wan Ismail.
"Meletakkan KL Rovers sebagai ahli gabungan di bawah naungan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA). Saya dengar langkah itu telah gagal.
"KLFA seakan-akan melupakan KL Rovers seperti dianaktirikan apabila tidak mengetahui siapakah pemilik KL Rovers yang sebenar, kepada siapa kami ingin mengadu.
"Dan saya sangat hampa tatkala pertukaran pengurusan yang harus menyelesaikan masalah ini tetapi masih tiada sinar di hujungnya," kata jurulatih, Wan Mustafa Wan Ismail.
Situasi itu sedikit sebanyak menggambarkan nasib yang kurang baik buat KL Rovers yang akan beraksi dalam Piala Malaysia musim ini.
"Saya mengikuti sahaja keputusan mereka. Jika mereka mahu berlatih, siapa yang mampu untuk turun, silakan. Yang tidak mampu, tidak perlu turun. Itulah lumrahnya.
"Sebagai jurulatih sudah tentu mahukan persiapan yang rapi menjelang Piala Malaysia," katanya kepada Nadi Arena.