LaLiga: Lewandowski nafi spekulasi, kekal komited di Barcelona
Muzaffar Musa
May 13, 2024 12:18 MYT
May 13, 2024 12:18 MYT
Robert Lewandowski kekal komited di Barcelona walaupun terdapat spekulasi mengenai masa depannya.
Perkara itu disahkan ejen pemain kebangsaan Poland berkenaan, sekali gus menafikan dakwaan bahawa Lewandowski mahu meninggalkan pasukan itu.
Laporan media-media Sepanyol mendakwa Barcelona sedang mengkaji semula kontrak pemain berusia 35 tahun itu memandangkan pengurus, Xavi, sedang mencari jalan untuk memperkuatkan barisan serangan mereka berikutan terlepas gelaran LaLiga kepada seteru tradisi, Real Madrid.
Bagaimanapun, ejen Lewandowski, Pini Zahavi, menafikan laporan bahawa dia sudah dipanggil oleh Presiden Barca, Loan Laporta, dan pengarah sukan, Deco, untuk membincangkan perkara itu.
"Ia tidak masuk akal," kata Zahavi kepada wartawan Poland, Tomsz Wlodarcyzk, seperti yang dipetik Mundo Deportivo.
"Dia mahu bermain setahun lagi di Catalonia. Dia sudah menandatangani kontrak empat tahun.
"Ia akan bergantung kepada prestasinya dalam musim 2024-25 dan termasuk satu klausa yang membolehkan penamatan kontraknya jika Lewy tidak bermain 55 peratus daripada minit permainan."