Klopp puji aksi cemerlang Liverpool atasi Rangers

Ammar Hakim
October 5, 2022 10:33 MYT
Jurgen Klopp mahu Liverpool meneruskan kemenangan dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Rangers.
Selepas seri 3-3 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) oleh Brighton Sabtu lalu, The Reds kembali ke Anfield awal pagi tadi dan kembali menemui rentak kemenangan ketika berdepan skuad kendalian Giovanni van Bronckhorst.
Liverpool bangkit dengan kemenangan 2-0 ke atas Rangers, gol terhasil menerusi sepakan percuma Trent Alexander-Arnold dan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Mohamed Salah.
Jurang itu hampir dilebarkan lagi namun aksi cemerlang penjaga gol Rangers, Allan McGregor, menafikan deretan peluang tuan rumah selepas bertukar formasi 4-2-3-1.
"Perlawanan yang bagus, bertindak seperti yang kami mahu usahakan," kata pengendali Liverpool, Klopp.
"Persembahan pertahanan yang sangat baik, penjaga gol Rangers menafikan percubaan kami dengan sangat bagus dan kami terlepas beberapa (peluang) lain tetapi saya sangat menyukainya.
"Dua gol yang kami jaringkan sangat bagus. Satu adalah penalti namun ia merupakan hasil gerakan serangan yang menarik. Kami bermain dengan baik.
"Tendangan percuma daripada Trent adalah luar biasa dan gol bola mati sebenarnya adalah gol kegemaran saya kerana anda tidak perlu menunggu VAR. Anda hanya boleh terus meraikannya.
"Tiada kekecewaan (tentang tidak menjaringkan lebih banyak) sama sekali. 2-0, ia memberikan kami tiga mata. Mari teruskan."
Liverpool berada di tangga kedua Kumpulan A selepas kekalahan memalukan 4-1 kepada Napoli dengan kemenangan berturut-turut di tempat sendiri menentang Ajax dan Rangers.
#Liverpool #Rangers #EPL #Jurgen Klopp #Liga Juara-Juara #Liga Perdana Inggeris
;