Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang menyediakan gelanggang berkecuali buat Palestin menentang Jordan bagi perlawanan kedua Kumpulan B, pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia malam tadi.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim, juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang hadir memberikan sokongan kepada skuad kendalian Makram Daboub itu dalam perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai 'rumah kedua' pasukan berkenaan.

"Kementerian juga melihat ini sebagai satu manifestasi kepada nasib rakan-rakan kita di Palestin.

"Kami juga telah berbincang mengenai pertukaran budaya, kepakaran sukan selain berharap dapat menerokai sukan lain mengikut kesesuaian pihak Palestin.

"Buat masa ini, kita bagi tumpuan kepada bola sepak dengan kerjasama FAM yang akan ditingkatkan lagi selepas ini," katanya.

Jordan meraih tiga mata dalam perlawanan itu selepas menewaskan Palestin 3-1 hasil jaringan Yazan Al-Naimat (m-5, m-51) dan Noor Al-Rawabdeh (m-72) manakala gol Palestin dijelmakan Wessam Abou Ali pada minit ke-41.

--Sinar Harian