Kelayakan Piala Asia B-20: Harimau Muda mula langkah kanan atasi Oman

Muzaffar Musa
September 21, 2024 21:56 MYT
MALAYSIA 2 OMAN 1
Skuad B-19 negara memulakan kempen pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2025 dengan langkah kanan apabila menewaskan pasukan pilihan, Oman, 2-1 di Stadium Pamir, Dushanbe sebentar tadi.
Dalam aksi pertama Kumpulan E itu, Moses Raj membuka jaringan buat Harimau Muda pada minit ke-31 sebelum Haykal Danish Mohd Haizon menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-66.
Bagaimanapun, keadaan kian getir menuju ke penghujung aksi apabila Majid Al Farsi merapatkan kedudukan buat Oman pada minit ke-88 tetapi skuad negara kental bertahan sehingga tamat perlawanan untuk seketika memimpin saingan kumpulan berkenaan.
Harimau Muda seterusnya akan bertemu Korea Utara bagi aksi kedua pada Isnin ini.
#bola sepak #Oman #Harimau Muda #Kelayakan Piala Asia B-20