Kedatangan Mane ke Bayern lonjak mutu Bundesliga
Ammar Hakim
June 21, 2022 13:47 MYT
June 21, 2022 13:47 MYT
Perpindahan Sadio Mane ke Bayern Munich akan menjadi rangsangan bukan sahaja untuk juara Jerman itu tetapi Bundesliga secara keseluruhan, menurut bekas rakan sepasukan penyerang itu, Loris Karius.
Mane bersedia untuk menyertai Bayern selepas kelab kendalian Julian Nagelsmann bersetuju dengan perjanjian GBP35.2 juta untuk menandatangani penyerang dinamik itu minggu lalu.
Pemain antarabangsa Senegal itu, yang telah membantu negaranya merangkul kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika (African Nations Cup) dan kelayakan Piala Dunia (World Cup Qualification) serta memenangi dua piala domestik bersama Liverpool pada 2022, hanya berbaki setahun dalam kontraknya di Anfield.
Jurgen Klopp melepaskan Mane, yang menjaringkan 23 gol dalam semua pertandingan pada musim 2021-22, selepas menandatangani penyerang Benfica, Darwin Nunez, minggu lalu.
Karius, yang menyertai Liverpool pada jendela perpindahan 2016 yang sama dengan Mane, percaya pemain berusia 30 tahun itu tidak akan menghadapi masalah untuk menetap di Allianz Arena.
“Ia akan menjadi perpindahan yang gila untuk Bayern, kerana dia adalah salah seorang pemain terbaik di Liverpool,” kata penjaga gol itu kepada Sky Sports di Jerman.
"Jika Bayern Munich berjaya menandatangani seseorang seperti dia, maka anda hanya boleh mengucapkan tahniah kepada mereka dan Bundesliga juga. Ia akan menjadi bintang lain dalam liga, jadi saya sangat gembira untuk Bundesliga.
"Sadio Mane sangat pendiam, sangat rendah hati. Dia juga bercakap sedikit bahasa Jerman dari zamannya di [RB] Salzburg. Saya sentiasa bergaul dengannya, sebenarnya semua orang. Sekiranya dia datang ke Jerman, dia menang tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyesuaikan diri."
#Bayern München
#Liverpool
#Sadio Mané
#Loris Karius
#football
#Premier League
#Bundesliga
#Bayern Munich