Jaringan penalti Fekir bawa Lyon ke suku akhir
Penulis Jemputan
February 8, 2018 08:35 MYT
February 8, 2018 08:35 MYT
MONTPELLIER 1 OLYMPIQUE LYON 2
Jaringan penalti Nabil Fekir membolehkan Olympique Lyon memastikan Montpellier kempunan untuk ke suku akhir saingan Piala Perancis apabila menang 2-1 di Stadium De La Mosson, awal pagi tadi.
Lyon, yang membariskan Gnaly Maxwell Cornet, Memphis Depay dan Bertrand Traore di barisan depan, terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-13 apabila rembatan kaki kiri Cornet hasil hantaran Traore menewaskan penjaga gol, Benjamin Lecomte.
Bagaimanapun, pendahuluan itu hanya bertahan selama sembilan minit apabila Jonathan Ikone menyamakan kedudukan buat tuan rumah.
Pemain yang dipinjamkan dari Paris Saint-Germain (PSG) itu mudah melepaskan tendangan kaki kanan selepas menerima hantaran lintang Paul Bastien Lasne untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Belum sempat Montpellier menarik nafas lega, pelawat dianugerahkan sepakan penalti selepas Fekir dijatuhkan dari belakang pada minit ke-27.
Pemain tengah yang juga kapten pasukan itu tidak berdepan masalah untuk memastikan Lyon kembali berada di depan, sekali gus meletakkan tuan rumah dalam situasi tertekan.
Montpellier hampir kembali mengikat kedudukan pada minit ke-60 menerusi percubaan jarak dekat Casimir Ninga, namun Anthony Lopes lebih bersedia untuk menafikan rembatan tersebut.
Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan, yang menyaksikan Lyon menyertai Chambly, Lens, Caen, Les Herbiers, Marseille dan PSG dalam suku akhir.
Satu lagi slot untuk ke kelompok lapan terbaik bakal ditentukan di antara Grenoble dan Strasbourg, awal pagi esok.