Jack Butland tekad pahat nama jadi legenda di Rangers

Shaiful Shamsudin
July 5, 2023 11:13 MYT
Jack Butland berhasrat untuk mengikuti jejak kekentalan dua bekas penjaga gol Rangers ketika dia sedang menyesuaikan diri dengan kelab yang berpangkalan di Ibrox itu.
Pemain berusia 30 tahun itu menyertai Light Blues bulan lalu dengan kontrak empat tahun selepas dibebaskan oleh Crystal Palace dan bersedia untuk mengambil alih posisi Allan McGregor, 41.
Dia tiba di Pusat Latihan Rangers semalam, dua hari selepas genap setahun kematian bekas penjaga gol Rangers, Andy 'The Goalie' Goram.
Justeru, Butland mahu mencontohi dua wira Ibrox itu.
“Itulah rancangannya,” kata pemain antarabangsa England itu.
“Anda bercakap tentang dua penjaga gol hebat -- ‘The Goalie’ dan Greegsy (McGregor) -- yang mempunyai sejarah yang luar biasa bersama kelab ini.
“Mereka tahu apa itu Rangers. Kesempatan menonton video sempena peringatan kepada Andy Goram memberi gambaran tentang kewibaannya, erti keberadaannya di kelab ini dan apa ertinya kelab ini kepadanya.
“Saya rasa itulah maksud yang cuba disampaikan kelab ini. Kami mempunyai sejarah yang kaya dengan penjaga gol terbaik dan ia adalah sesuatu yang saya akan usahakan bagi meneruskan perjuangan mereka, baik di dalam dan di luar padang.
"Saya belajar tentang kelab, menikmatinya, mengambil semuanya dan mudah-mudahan mengikuti jejak mereka yang sudah tentu merupakan suatu tuntutan yang tinggi atas pencapaian mereka.”
#Rangers #Jack Butland
;