Harimau Malaya dapat pengajaran berguna

Ammar Hakim
October 14, 2024 20:50 MYT
Harimau Malaya mendapat pengalaman berguna di pentas antarabangsa selepas dibelasah pasukan ranking ke-95 dunia, New Zealand 0-4 dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium North Harbour, Auckland pada Isnin.
Pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente berkata, beliau memohon maaf kerana gagal memberikan keputusan positif berdepan pasukan New Zealand yang jauh lebih berkualiti.
"Saya ingin memohon maaf kepada penyokong kerana mereka mahu melihat kami meraih kemenangan.
"Kami gagal memberikan keputusan yang baik kepada mereka dan dalam masa sama berdepan pasukan yang cukup kuat.
"Sejak saya berada di sini (bersama Harimau Malaya), ini adalah antara pasukan terkuat pernah skuad negara hadapi. Ia menjadi pengalaman berguna kepada pemain," katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, New Zealand nyata bukan tandingan skuad negara selepas dibelasah menerusi gol Elijah Just pada minit ke-53, Matthew Garbett (m-61), Chris Wood (m-72) dan Logan Rogerson (m-90).
Dalam pada itu, Pau Marti tidak mahu menyalahkan para pemainnya selepas kekalahan tersebut selain percaya ada elemen positif yang ditunjukkan sepanjang 90 minit perlawanan.
"Pada separuh masa pertama kami berdepan tekanan yang tinggi, tetapi kami bertahan dan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.
"Separuh masa kedua kami bolos gol ketika fasa transisi dan bertahan. Saya tidak boleh menyalahkan pemain kerana mereka telah cuba melakukan yang terbaik," katanya.-Sinar
#New Zealand #Harimau Malaya #Pau Marti Vicente
;