Golf Maybank: Jasmine Suwannapura fokus mutu permainan sendiri

Shaiful Shamsudin
October 23, 2024 18:32 MYT
Berbaki sehari sahaja lagi untuk tirai Kejohanan Golf Maybank 2024 disingkap, setiap pemain semestinya menetapkan misi tersendiri sebelum turun ke lapangan di Kuala Lumpur Golf and Country Club .
Pemenang tempat ketiga edisi tahun lalu, Jasmine Suwannapura, yakin dengan momentum positifnya selepas kali terakhir menjuarai Walmart NW Arkansas pada bulan lalu yang mampu meningkatkan semangatnya.
Dalam penyertaan keduanya edisi ini, dia tidak menjadikan juara bertahan, Celine Boutier, sebagai pesaing terhebatnya, sebaliknya berasakan diri sendiri sebagai pencabar utamanya.
"Saya hanya tumpu untuk berikan yang terbaik, andai ada peserta lain yang melakukan birdie maka ia adalah di luar kawalan saya.
"Selepas sesi memanaskan badan di sini, saya boleh katakan prestasi saya makin berkembang cuma beberapa pukulan putting saya tidak begitu bagus dalam beberapa minggu terakhir.
"Namun, aspek seperti iron dan drive adalah bagus.
"Cuaca dan lapangan di sini juga bertambah baik," katanya di Nadi Arena sebenar tadi.
Setelah lama berehat daripada kancah itu atas sebab peribadi, pemain kebangsaan, Durriyah Damian, mahu menjadikan kejohanan berprestij ini sebagai medan mengembalikan semangat untuk terus berkecimpung dalam karier pilihannya tersebut.
Dengan momentum yang dibina sejak mulanya menyertai Jelajah Toyota awal tahun ini, dia berharap mampu memberikan yang terbaik dalam penampilan pertamanya itu berikutan berjaya melayakkan diri menerusi kuota ASEAN.
"Saya belum berasakan sebarang tekanan lagi.
"Minggu ini adalah kesempatan untuk saya beraksi dengan baik memandang agak lama saya berehat.
"Saya harap ini langkah untuk saya yang seterusnya," katanya pula.
#Golf
;